BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kosmetik mengandungi racun berjadual


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai berhenti membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga produk berkenaan iaitu Sifu Kunyit Day Cream, Sifu Kunyit Night Cream dan JJ Skincare Glowhite Night Cream, dikesan mengandungi hydroquinone, tretinoin, betamethasone valerate dan merkuri.

Susulan itu, beliau berkata notifikasi produk berkenaan sudah dibatalkan dan ia tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penjualan dan pengedaran produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta.

Tegas Dr Noor Hisham, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” kata beliau.

Dr Noor Hisham berkata orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk.

Beliau berkata betamethasone valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
 
"Hydroquinone pula menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Merkuri pula dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan malah, ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf, menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »