BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

KKM lakukan active case detection

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melalui Pejabat Kesihatan  Bahagian Samarahan akan menjalankan aktiviti pengesanan secara aktif  (Active Case Detection) di dua lokasi iaitu di Taman Desa Ilmu dan Taman Unigarden di Kota Samarahan bermula esok hingga Khamis (27 hingga 30 April).

Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, aktiviti pengesanan secara aktif ini akan melibatkan sebanyak 50 pasukan dengan 100 orang anggota.

"Aktiviti ini  akan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Pejabat Residen Samarahan, PDRM, RELA, Kementerian Kerajaan Tempatan dan 
Perumahan Sarawak, Unit Komunikasi Awam Sarawak dan lain-lain," katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke Hospital Umum Sarawak hari ini.

Beliau menegaskan, jangkitan COVID-19  masih lagi aktif dilaporkan berlaku di Sarawak terutama di daerah Kuching dan Kota Samarahan yang merupakan kawasan merah.


Menurutnya, bagi menangani jangkitan dan penularan COVID-19 di Sarawak terutama di kedua-dua daerah tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak terus menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan termasuk pengesanan kes secara aktif.

"Selain itu, pengesanan kontak rapat kepada kes positif juga dilakukan dengan menjalankan saringan ujian COVID-19, membuat isolasi kes positif COVID-19 di dalam wad dan menempatkan kontak rapat kes melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Akta 342, samada di rumah ataupun di Stesen Kuarantin yang dikenal pasti," katanya.

Beliau menambah, lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau situasi terkini COVID-19 di Sarawak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan semua agensi terlibat dalam menghadapi pandemik COVID-19.

"Kami juga mengadakan perbincangan bagi sama-sama mengenalpasti perkara-perkara yang perlu diberi perhatian segera dan mengesyorkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua Kementerian dan Agensi yang terlibat akan sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan bagi menyokong langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang sedang dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

"Pihak KKM mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang sangat aktif dan terlibat secara langsung dalam membendung penularan jangkitan COVID-19 ini," katanya.

Beliau berkata,  Kerajaan Sarawak telah banyak memberikan sumbangan dan sokongan bagi menangani pandemik ini termasuk bagi perolehan peralatan makmal dan peralatan perlindungan diri untuk petugas kesihatan.

Kredit gambar Datuk Seri Fadillah Yusof

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »