BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kilang di Samajaya dibenarkan beroperasi tahap minima - Naroden

KUCHING, 7 April (Bernama) -- Kilang-kilang di Zon Perdagangan Bebas Samajaya dibenarkan beroperasi pada tahap minimum sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Naroden Majais hari ini berkata kebenaran beroperasi itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Ada yang beroperasi hanya sekitar 20 hingga 30 peratus daripada kapasiti sebenar, dalam syif, dan tidak berada di bawah satu bumbung tetapi di bawah beberapa buah kilang yang kecil, manakala kakitangan pengurusan diminta bekerja dari rumah.

“Langkah-langkah pencegahan lain yang disediakan termasuk pemeriksaan suhu badan, penggunaan penutup hiudng dan mulut dan pembersih tangan (penggunaan cecair pembasmi kuman), jarakan sosial di kantin, bilik mesyuarat, kawasan pengeluaran dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Naroden berkata pemeriksaan rutin ke atas kilang-kilang turut dijalankan dengan bantuan pihak polis dan Jabatan Pertahanan Awam di mana laporan harian akan diserahkan kepada JPBN untuk penilaian.
 
“Setakat ini tidak ada syarikat yang dilaporkan tidak mengikut syarat-syarat yang telah diberikan dan tiada kes COVID-19 yang dilaporkan di Samajaya.

“JPBN akan mengkaji semula statusnya jika terdapat kes COVID-19 yang dilaporkan dalam Zon Perdagangan Bebas Samajaya atau jika terdapat laporan mengenqi syarikat yang tidak mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh PKP,” katanya. 

Dalam pada itu Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata JPBN yang bermesyuarat hari ini juga memutuskan semua kilang pemprosesan rumbia dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 petang sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, bilangan penerbangan dari Labuan ke Miri akan dikurangkan semasa tempoh PKP kepada tiga kali seminggu iaitu hari Isnin, Khamis dan Sabtu manakala penerbangan dari Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur pula sebanyak dua kali seminggu iaitu Khamis dan Ahad,” kata beliau yang juga timbalan pengerusi JPBN.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »