BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kes turun bukan lesen ingkar PKP

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Kes positif COVID-19 dalam negara yang terus menunjukkan penurunan bukan bermakna orang ramai boleh melanggar segala peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan, segala peraturan selama ini masih terus kekal dan pematuhan kepada peraturan berkenaan perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

"Polis akan terus ambil tindakan kepada setiap individu yang melanggar PKP. 

Kita jangan lupa ada sesetengah negara yang melonggarkan sekatan apabila kes berkurangan tetapi akhirnya berlaku peningkatan kes positif menyebabkan mereka terpaksa bukan sahaja mengisytiharkan PKP tetapi ada negara isytihar darurat dan sebagainya. 

"Saya harap perkembangan baik ini boleh dijadikan perkara positif supaya kita bertindak dengan lebih tegas lagi untuk diri kita supaya mematuhi setiap arahan PKP, setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan dan patuhi setiap perintah," katanya pada sidang media harian perkembangan PKP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah individu yang ditahan kerana mengingkari PKP di seluruh negara semalam turun kepada 946 individu berbanding 1,111 pada hari sebelumnya, dengan 433 daripada mereka ditahan di zon merah.

Jelasnya, jumlah itu merangkumi 822 individu yang direman dan 124 dijamin polis, menjadikan keseluruhan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP hingga semalam sebanyak 16,870.

"Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mengadakan 824 sekatan jalan raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 603,314 kenderaan,” katanya.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 52,380 pemeriksaan mengejut turut diadakan di seluruh negara dengan 6,127 premis diperiksa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tiada halangan bagi syarikat swasta menawarkan perkhidmatan sanitasi bangunan dan premis persendirian. 

"Syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan sanitasi ini perlu mengikut nasihat dan peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan 3,040 operasi sanitasi awam di 107 zon termasuk di 30 zon merah sejak 30 Mac lepas.

“Semalam, sebanyak 250 operasi sanitasi meliputi 78 zon di 14 negeri, termasuk 44 kawasan di Johor dan 27 kawasan di Terengganu yang turut dilakukan sanitasi awam,” katanya.

Operasi sanitasi semalam, katanya, merangkumi 159 bangunan kerajaan, 111 tempat awam, 133 pusat perniagaan dan sembilan pasar raya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »