BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kastam patahkan dua cubaan seluduh dadah bernilai RM6.19 juta di KLIA

PUTRAJAYA, 31 Mac -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua cubaan menyeludup dadah jenis ketamin dan serbuk daun ketum (mitragynine) di Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 dan 16 Mac, yang dianggarkan bernilai RM6.19 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah) Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata kes pertama pada 15 Mac melibatkan cubaan menyeludup dadah jenis ketamin seberat 54.36 kilogram bernilai RM2.45 juta, manakala pada 16 Mac pula melibatkan cubaan menyeludup serbuk daun ketum seberat 747.73 kilogram bernilai RM 3.74 juta.

Pada kira-kira 3 pagi 15 Mac, katanya sepasukan pegawai Penguatkuasaan Unit III (KLIA) Zon Tengah telah melakukan pemeriksaan terhadap 28 kotak polisterin yang diikrar sebagai makanan laut sejuk beku untuk dieksport ke Hong Kong dan 190 bungkusan ketulan mampat berbalut plastik berwarna hitam yang mengandungi serbuk berwarna putih ditemui disorok di dalam perut ikan patin.

Bahan dadah yang disyaki ketamin itu disorok di dalam perut ikan patin yang disejuk beku adalah untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa di KLIA, dengan destinasi akhir adalah Hong Kong International Airport, katanya.

"Hasil siasatan kes ini mendapati dadah jenis Ketamin yang untuk tujuan eksport ke negara Hong Kong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Zulkurnain berkata seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 16 Mac kira-kira 2.35 petang pula, katanya sepasukan pegawai Penguatkuasaan Unit III (KLIA) Zon Tengah telah melakukan pemeriksaan ke atas 39 kotak yang diikrar sebagai 'Mitragyna Speciose Leaf Powder' yang diimport dari Indonesia.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah bungkusan lut sinar yang mengandungi serbuk berwarna hijau disyaki daun ketum (Mitragynine) yang disimpan di dalam 39 kotak itu.

Susulan itu, seorang warga tempatan telah ditahan untuk siasatan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
--Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »