BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Jualan terus dari ladang 14 April


KUCHING: Program “Jualan Terus Dari Ladang” melibatkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK Subis) dan FAMA Miri yang pertama bermula di Kompleks Islam Sarawak, Miri pada 14 April ini.

Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, inisiatif ini melibatkan pembelian lambakan hasil pertanian oleh PPK, manakala FAMA akan menyediakan kemudahan pemasaran di kawasan yang strategik untuk tujuan pemasaran hasil pertanian kepada orang awam dan pemborong.

"Inisiatif ini juga menyediakan ruangan untuk menghubungkan para petani dengan pemborong," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga dalam perancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta bagi tujuan pemasaran atas talian dan penghantaran ke isi rumah. 

Menurutnya, kerajaan akan bertindak sebagai pemudahcara, manakala PPK akan membekalkan hasil pertanian kepada pihak swasta untuk dipasarkan secara atas talian, di mana pihak swasta tersebut akan menjalankan aktiviti pemasaran, termasuk penghantaran barangan yang ditempah atas talian. 

"Dari sudut pengeluaran, Kerajaan Sarawak akan terus menggalakkan para petani untuk meneruskan aktiviti penanaman melalui pelbagai skim yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kesinambungan rantaian bekalan makanan. 

"Inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak ini adalah untuk memastikan bahawa setiap peringkat aktiviti rantaian bekalan akan dijamin berterusan, dari pengeluaran sehingga kepada pembelian oleh para pengguna," katanya.

Beliau menambah, bagi golongan nelayan pula, Kerajaan Sarawak melalui MANRED, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), telah memperuntuk sejumlah RM600,000 untuk melaksanakan program pembelian hasil tangkapan ikan dari para nelayan, sekali gus membantu dalam memasarkan hasil tangkapan tersebut.

Menurutnya, PNK akan memainkan peranan sebagai pemborong hasil tangkapan dan terlibat dalam aktiviti pemasaran melalui penghantaran pesanan barang dari atas talian dan penjualan secara borong menggunakan lori bergerak (konsep “Fish on Wheels”). 

"Sejumlah 485 kilogram hasil tangkapan bernilai RM6,300 telah dibeli dari para nelayan dari lima (5) PNK di Sarawak setakat 12 April.

"Ini merupakan usaha-usaha Kerajaan Sarawak dalam meringankan beban para petani dan nelayan, yakni golongan yang penting dalam memastikan kelancaran sektor pertanian di Sarawak selama ini," ujarnya.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »