BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Jangan jual atau beli penutup hidung dan mulut berlogo PDRM/ ATM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada mana-mana pihak agak tidak terlibat dalam menjual, membeli dan menggunakan penutup hidung dan mulut atau kemeja T yang mempunyai lambang pasukan keselamatan. 

 Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata ini kerana pihaknya telah mengesan gerakan individu tertentu yang menawarkan penjualan barangan tersebut yang mempunyai logo PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Beliau berkata hanya anggota PDRM dan ATM sahaja dibenarkan menggunakan penutup hidung dan mulut yang mempunyai logo tersebut. 

"Sekiranya kegiatan ini masih berterusan, PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan di bawah Seksyen 89(b) Akta Polis 1967 yang boleh dikenakan denda RM500 atau hukuman penjara selama enam bulan atau kedua-duanya," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. 

Huzir berkata amaran itu dikeluarkan berikutan terdapat individu tertentu yang menawarkan penjualan barangan tersebut yang mempunyai logo PDRM dan ATM Op Penawar 2020 seperti yang tular di laman sosial.

"PDRM tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja mengambil kesempatan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan mempromosikan barangan berlogo PDRM dan ATM untuk dijual secara terang-terangan.

"Ia merupakan suatu kesalahan yang menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya. 
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »