BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Fasa ketiga PKP: PDRM ambil tindakan lebih tegas

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Tindakan yang lebih tegas akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada individu yang ingkar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga dari 15 hingga 28 April ini,  kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata bagi tempoh lanjutan PKP seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, PDRM akan lebih tegas dan tidak akan berkompromi dengan individu yang masih ingkar dan degil dengan arahan penguatkuasaan itu.

"Mereka yang ingkar dalam mematuhi PKP kali ini akan ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Bagi kesalahan pertama, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,"  katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri–menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini. 

Ismail Sabri berkata dalam tempoh PKP ini, individu yang gagal memberi kerjasama kepada petugas kerajaan, termasuk anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti doktor atau jururawat akan didakwa di bawah Seksyen 186, Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Jelasnya jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Beliau berkata setakat semalam PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 779 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 490,249 kenderaan.

"Sebanyak 47,949 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dan sebanyak 5,028 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa. 

PDRM telah menahan 1,095 individu kerana ingkar PKP, dan 815 individu dikenakan kompaun RM1,000. Sebanyak 242 individu direman dan 38 individu diberi jaminan polis," katanya.

Ismail Sabri berkata jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga semalam adalah sebanyak 7,759 individu manakala seramai 373 dituduh di mahkamah kerana ingkar arahan PKP," katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 1,291 Operasi Sanitasi Awam COVID-19 di 85 zon termasuk 24 zon merah dan 61 zon kuning sejak 30 Mac.

Beliau berkata operasi sanitasi tersebut dikendalikan dengan pengawasan KKM dan mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ismail berkata operasi memberi keutamaan kepada 'lokaliti kes' berdasarkan bilangan kes COVID-19 yang terkini seperti di 884 bangunan kerajaan, tempat awam (565), pusat perniagaan (528)  dan pasar raya (107).

“Semalam sebanyak 166 operasi sanitasi meliputi 60 zon di 12 negeri, termasuk 46 kawasan di Johor dan 26 kawasan di Pahang,” katanya.

Setakat semalam sebanyak tiga  Program Perumahan Rakyat (PPR) telah dinyah cemar menjadikan jumlah keseluruhan 37 PPR telah selesai disanitasi melibatkan 36,870 unit rumah.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »