BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Empat pelajar Sarawak terkandas di Kelantan

BACHOK, 19 April (Bernama) -- Empat pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka, yang berasal dari Sarawak, terkandas di Kelantan sejak hampir sebulan lalu.

Lika Doris Guang, 24, Dally Angkang Joseph, 25, Siti Noraziera Ramlee, 24, dan Betty Bulan Ambrose, 24, telah berada di Jelawat di sini sejak 19 Mac lalu, hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk perjalanan itu.

Siti Noraziera berkata mereka sebelum ini mengambil keputusan untuk ke rumah rakan kolej, Siti Afifah Aina Shukri, 23, di Kampung Bator, Jelawat ,memandangkan ketika itu adalah cuti semester selama seminggu dan tiket untuk pulang ke Sarawak memerlukan kos yang agak tinggi. 

“Kami tidak menyangka sama sekali PKP akan menyebabkan kami semua terkandas. Malah, ia kini dilanjutkan sehingga 28 April ini pula,” katanya kepada Bernama.

Presiden Alumni Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS), Samsudin Oli Mohamed, berkata prihatin dengan nasib pelajar berkenaan, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) dan IKTBN Alor Gajah telah mengambil keputusan untuk menempatkan mereka di IKTBN Bachok semalam. 
 
Katanya, mereka adalah sebahagian daripada pelajar di bawah ILKBS yang mengalami masalah untuk pulang ke kampung halaman mereka akibat PKP.

“Kami terpaksa memindahkan mereka memandangkan pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan pulang ke Sarawak dan menumpang lebih masa di rumah rakan. 

“Buat ketika ini semua pelajar sedang bercuti dan kafe di sini juga tidak menyediakan makanan, oleh itu pihak kami akan berusaha untuk membantu pelajar yang terkandas ini,” katanya.

Tambah beliau, bagi meringankan beban pelajar berkenaan, beliau juga meminta rakan-rakan alumni atau orang ramai membantu dari segi kewangan atau barangan untuk diagihkan sepanjang mereka di IKTBN Bachok.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi pelajar berkenaan di talian 011-11367426, 014-9530324, 011-31831072 atau 018-6693695.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »