BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Dr Jemilah Mahmood bidas cadangan UTM bina terowong sanitasi


KUALA LUMPUR: Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri Dr Jemilah Mahmood membidas cadangan UTM untuk membina terowong sanitasi atau ‘Pondok Nyah Cemar Automatik UTM Shield’ secara besar-besaran bagi membantu barisan hadapan membendung Covid-19.

Menerusi ciapan di Twitter rasminya semalam, Dr Jemilah menyuarakan kebimbangan penggunaan terowong sanitasi itu boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam.

“Peraturan pertama ialah ia tidak mendatangkan bahaya. Penggunaan terowong sanitasi ini tidak digalakkan dan bertentangan dengan panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).”

“UTM tolong hentikan perkara ini sebelum kamu membahayakan orang lain. Kepada universiti dan syarikat yang mengamalkan langkah penyemburan dalam mengatasi Covid-19, tolong hentikan,” katanya.

Kecaman beliau turut dipersetujui seorang pemilik twitter @AzizDayang,   bahawa penggunaan terowong sanitasi boleh menyebabkan wabak itu merebak sekiranya seseorang itu pembawa virus.

Dr Jemilah bersetuju dengan komen @MiszCJSap yang menyifatkan projek UTM itu sebagai pembaziran wang dan sumber dan berpendapat alangkah elok jika ia digunakan untuk menghasilkan kelengkapan pelindung diri (PPE) secara besar-besaran.

“Bukan itu sahaja membazir wang dan sumber, projek itu juga amat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dr Jemilah menerusi satu lagi ciapan turut mengajak orang awam untuk membaca panduan yang diterbitkan oleh WHO di pautan berkaitan tindakan penyemburan sebatian alkohol atau klorin ke atas tubuh badan untuk membunuh virus.

Menurut artikel itu, penyemburan cecair di seluruh anggota badan tidak dapat membunuh virus yang sudah memasuki badan, sebaliknya  membahayakan anggota badan seperti mata dan mulut.

Penggunaan cecair ini boleh digunakan untuk nyah cemar di permukaan namun ia perlu digunakan mengikut langkah yang betul.

Sementara itu The Star melaporkan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, terowong itu dibangunkan oleh pasukan petugas khas Covid-19 UTM sebagai alat pelindung tambahan.

“Kami sudah menyiapkan kertas cadangan dan akan bermesyuarat dengan syarikat berkaitan mengenai dana dan bahan mentah.”

“Kami berharap dapat memulakan pengeluaran penghujung bulan ini,” katanya selepas majlis penyerahan UTMShield-ADC kepada Majlis Bandaraya Johor Baru di Fakulti Kejuruteraan UTM. 

Terowong seluas 4x5x7 kaki persegi itu dibangunkan hasil sama penyelidik dan pelajar Fakulti Kejuruteraan yang terdiri daripada Sekolah Kejuruteraan Mekanikal serta Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan.

Katanya, terowong itu berfungsi secara automatik, dan mampu nyah cemar keseluruhan badan individu sehingga 99.9 peratus, terutama bagi petugas barisan hadapan semasa penularan COVID-19.

“Setiap orang perlu berada dalam terowong itu kira-kira 20 saat,” katanya.

Terowong sanitasi adalah antara enam produk yang dihasilkan UTMShield selain pelindung muka, kotak inkubasi dan pensanitasi tangan.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »