BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Covid-19 tidak kenal asal dari kayangan atau bumi


PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Wabak COVID-19 tidak mengenal sama ada seseorang itu berasal dari 'kayangan' ataupun bumi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada mereka yang bersikap biadab dan enggan memberi kerjasama kepada petugas kesihatan yang terlibat dalam pengurusan wabak itu. 

Beliau menegaskan bahawa kedudukan dan darjat seseorang itu tidak sama sekali boleh menjamin mereka terselamat daripada virus pembunuh itu. 

"Saya harap mereka yang berkedudukan tinggi itu sepatutnya lebih bertamadun daripada orang lain dan berikanlah kerjasama kepada petugas barisan hadapan.

"Kerana seperti saya katakan kedudukan tinggi tidak menjamin mereka terselamat daripada COVID-19," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas luahan kekecewaan petugas barisan hadapan seperti doktor dalam media sosial berikutan terpaksa berhadapan dengan golongan yang dikategorikan sebagai 'turun dari kayangan', yakni yang baru pulang dari luar negara.

Menerusi perkongsian dalam media sosial, ada antara mereka yang kebanyakannya golongan elit, dikatakan enggan menjalani kuarantin wajib dan sanggup melontarkan kata-kata jelik kepada petugas kesihatan yang membuat pemeriksaan kesihatan. 

Ditanya tindakan yang boleh diambil terhadap golongan berkenaan, beliau berkata undang-undang yang berkaitan dengan perkara menghalang penjawat awam menjalankan tugas masing-masing mungkin boleh digunakan dalam isu ini.

Ismail Sabri berkata, setakat semalam terdapat 146 pusat kuarantin telah beroperasi dengan 10,328 individu menjalani proses kuarantin wajib.

Ditanya sama ada kerajaan akan memberikan kelonggaran kepada ibu bapa untuk mengambil anak mereka di kampus atau kolej kediaman sekiranya PKP dilanjutkan, beliau berkata setakat ini prosedur operasi standard (SOP) yang lama masih dikekalkan.

"Bermakna bagi pelajar di kolej atau universiti SOP lama mereka masih perlu kekal di kampus kediaman mereka dan makanan seperti biasa akan diteruskan," katanya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »