BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

COVID-19: Bilangan pesakit sembuh terus memberangsangkan.


 
 
Kuala Lumpur, 10 April (Bernama ) -- Meskipun jumlah kes COVID-19 di Malaysia sudah melepasi angka 4,000 namun berita baiknya ialah bilangan pesakit yang sembuh juga semakin menggalakkan dengan tertinggi 236 orang dicatat pada Isnin (6 April) lepas.

Sehingga pukul 12 tengahari Khamis 9 April, seramai 121 orang lagi dibenarkan pulang, menjadikan jumlah pesakit yang sembuh seramai 1,608 orang, iaitu 38.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Untuk rekod, angka pesakit pulih yang dicatat Khamis mengatasi jumlah kes baharu, seperti diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media Khamis 9 April, iaitu 109, menjadikan jumlah kumulatif kes, 4,228 orang.

Khamis adalah hari kedua berturut-turut jumlah pesakit sembuh mengatasi jumlah kes baharu. Pada Rabu 8 April, jumlah pesakit discaj adalah 166 orang berbanding 156 kes baharu.

Terdapat pertambahan dua (2) kes kematian, menjadikan jumlah kematian pesakit COVID-19 di Malaysia setakat ini, 63 orang. 

Menurut Dr Noor Hisham, kadar kematian di negara ini disifatkan masih rendah iaitu pada kadar 1.58 peratus.

Daripada dua kes kematian yang dicatat pada Khamis, satu kes melibatkan warganegara Malaysia berusia 23 tahun, korban termuda COVID-19 di negara ini setakat ini.

Mangsa, kes ke-2864 yang mempunyai latar belakang penyakit tiroid mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak. Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19.

Sementara itu, bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi setakat Khamis 9 April ialah 72, yang mana 43 orang pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr Noor Hisham Abdullah turut mengumumkan dalam sidang akhbar bahawa sehingga 9 April pukul 12 tengahari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 416 kes positif COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara Malaysia termasuk dua (2) kes kematian. 

Kedua-duanya adalah warganegara Pakistan, masing-masing kes ke-1906 (dilapor pada 8 April) dan kes ke-1275 (dilapor pada 31 Mac).

Daripada 416 kes ini, Indonesia (51 kes), India (37 kes), Myanmar (31); Pakistan (29 kes); dan Filipina (27 kes).
 
 
TEMPOH KRITIKAL DAN TINDAKAN KETAT
 
Malaysia mula mencatat kes baharu tiga angka COVID-19 sejak 15 Mac iaitu 190 kes dan memandangkan jumlah kes baharu tiga angka terus direkodkan, banyak pihak mahu kerajaan melanjutkan tempoh PKP fasa 2 yang dijadual berakhir pada 14 April.

Fasa satu PKP berkuatkuasa 18 Mac sehingga 31 Mac lepas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman hari ini mengenai langkah berikutnya bagi membendung penularan wabak penyakit COVID-19, selepas mendengar taklimat KKM.

Tempoh dua minggu lanjutan PKP dari 1 April hingga 14 April disifatkan tempoh kritikal untuk menentukan sama ada Malaysia berjaya memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini.

Perkara ini ditekankan oleh Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar pada 1 April.
Beberapa peraturan ketat turut dilaksanakan untuk mengekang wabak penyakit COVID-19 daripada merebak. 

Bermula 3 April, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sama ada melalui penerbangan sewa khas mahupun komersial akan terus dibawa ke pusat kuarantin yang dikhaskan untuk selama 14 hari. 

Setakat ini seramai 9,720 individu dikuarantin di 143 pusat, termasuk 24 buah hotel. 
Kerajaan juga bertindak mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Terbaharu Selasa 7 Mac, melibatkan dua blok, flet kediaman lapan tingkat yang turut menempatkan premis perniagaan di bahagian bawah, iaitu Malayan Mansion dan Selangor Mansion, di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Bangunan itu terletak dalam jarak lingkungan 500 meter dari lokasi Plaza City One, di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur yang lebih awal dikenakan PKPD pada 31 Mac lalu.

Dua kawasan pertama dikenakan perintah PKPD iaitu di Simpang Renggam, Johor dan kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

PKPD di Simpang Renggam yang dijadual berakhir hari ini dilanjutkan lima hari lagi sehingga 14 April.
 
 
ZON MERAH
 
Setakat 12 tengahari 8 April, jumlah kawasan yang diisytihar sebagai zon merah bertambah menjadi 24. Terkini ialah Kuantan, apabila merekodkan 43 kes positif COVID-19.
Semalam, 8 April, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan Sepang dan Kota Samarahan, Sarawak diisytihar zon merah selepas masing-masing merekodkan 46 kes dan 42 kes positif Covid-19.

Sesebuah kawasan dikategorikan sebagai zon merah apabila ia merekodkan lebih 41 kes COVID-19.

Kawasan-kawasan lain yang diisytiharkan sebagai zon merah ialah Jasin , Putrajaya , Rembau , Lembah Pantai, Hulu Langat, Petaling, Kuching, Kluang, Seremban, Johor Baharu, Kepong, Klang , Gombak , Titiwangsa , Kinta, Kota Bharu, Tawau , Hilir Perak , Jerantut, Batu Pahat dan Cheras.
 
 
SITUASI GLOBAL COVID-19
 
Wabak penyakit COVID-19 yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai “”ujian paling getir sejak meletusnya Perang Dunia Kedua” terus merebak dengan pantas dan menyebabkan angka kematian yang tinggi.

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 1,604,718 orang dan angka kematian, 95,735 orang. 

Jumlah pesakit yang sembuh ialah 356,660 orang.
Amerika Syarikat terus mencatat pertambahan kes yang besar sejak penyakit COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan lepas dan dilaporkan sudah merebak ke semua 50 buah negeri.

Setakat ini, sebanyak 468, 887 kes dilaporkan dengan angka kematian melonjak kepada 16,697 orang.

Kongres Amerika awal Mac membuat unjuran antara 70 hingga 150 juta orang di Amerika Syarikat boleh dijangkiti penyakit tersebut.

Sepanyol: Kes COVID-19 sudah mencecah 153,222 dengan 15,447 kematian. Negara itu menguatkuasakan perintah berkurung sejak 14 Mac.

Itali : Angka terkini jumlah kes COVID-19 di negara itu ialah 143,626 dengan 18,279 kematian. Ini diikuti Jerman, dengan 118,235 kes dan 2,607 kematian.

China: Tidak ada kenaikan besar dalam jumlah kes baharu. Angka terkini 81,907 berbanding 81,620 kes, yang direkod minggu lepas dengan 3,336 kematian (minggu lalu 3,322 kematian).

Sementara itu, Wuhan, bandar pusat penularan penyakit COVID-19 pada lewat penghujung 2019, akhirnya menarik balik perintah berkurung pada Rabu 8 April, selepas 77 hari dikuarkuasakan.
Puluhan ribu orang yang terpaksa berkurung, dilaporkan berpusu-pusu keluar dari bandar itu menuju ke bahagian lain China, antaranya untuk kembali ke tempat kerja dan menziarahi keluarga.

Mereka yang dibenarkan keluar bagaimanapun mesti mendapat pengesahan kesihatan sebelum boleh berbuat demikian. 
 
Negara lain yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar termasuk:-
 
Perancis 117,749 ( 12,210 kematian), Iran 66,220 (4,110 kematian), United Kingdom 65,077 (7,978 kematian ), Turkey 42,282 ( 812 kematian), Belgium 24,983 (2,523 kematian) , Switzerland 24,051 ( 948 kematian), Belanda 21,782 (2,396), Kanada 20,765 ( 509 kematian), Brazil 18,176 ( 957 kematian), Portugal 13,956 (409 kematian), Austria 13,224 (295 kematian), Korea Selatan 10,450 (208 kematian), Rusia 10,131 (76 kematian, Israel 9,968 (86 kematian), Sweden 9,141 (793 kematian), India 6,725 (227 kematian), Ireland 6,574 (263 kematian) dan Australia 6,152 (53 kematian).
 
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
RUANGAN SISI
 
LATAR BELAKANG COVID-19
 
-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.  
-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia. 
-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini. 
-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.
 
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »