BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Covid-19: 81 individu tiba dari Itali dikuarantin dibenar pulang

NILAI, 10 April (Bernama) -- Seramai 81 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan tanggungan serta enam individu bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Itali pada 26 Mac lepas, hari ini dibenarkan pulang selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, di sini. 

Kesemua mereka yang terdiri daripada 75 rakyat Malaysia serta enam rakyat Itali yang dibenarkan pulang pukul 8 pagi tadi, diambil oleh ahli keluarga dan ada juga di antara mereka yang menaiki sebuah van dan kereta disediakan pihak pengurusan pusat kuarantin. 
Daripada jumlah itu, 39 daripada mereka ialah lelaki dan 42 perempuan.

Turut dibenarkan pulang ialah lima kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 20 kru AirAsia dan masing-masing seorang pegawai daripada Kementerian Luar dan seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut wakil NADMA, seramai lapan individu yang pulang menaiki van dan kereta yang disediakan pihak pengurusan pusat kuarantin, dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 manakala selebihnya diambil ahli keluarga dengan dibekalkan surat kebenaran pergerakan.

Kesemua 81 individu itu dibawa pulang daripada Itali menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) menaiki pesawat khas AirAsia yang tiba di KLIA pada 10.06 pagi, 26 Mac lepas, susulan penularan wabak COVID-19 di negara berkenaan.

Misi berkenaan adalah yang keempat selepas kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di Wuhan, China pada 4 dan 26 Feb lepas akibat wabak itu, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang diikuti misi HADR dari Tehran, Iran, yang membawa pulang 55 individu, pada 22 Mac lepas.

Ketika ini, masih terdapat 30 individu rakyat Malaysia di pusat kuarantin AKEPT terdiri daripada 15 individu yang tiba dari Indonesia, 14 individu tiba dari Sepanyol dan seorang tiba dari United Kingdom, yang akan menamatkan proses kuarantin mereka pada 17 April ini selepas di masukkan ke pusat itu pada 2 April. 
- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »