BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

CENTEXS perkenal terowong sanitasi


KUCHING, 13 April (Bernama) -- Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), melalui bahagian teknologinya iaitu CENTEX Technology, hari ini memperkenalkan terowong sanitasi cegah virus atau ‘Covid Buster’ yang pertama di negeri itu bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata usaha ini diharapkan dapat mengurangkan risiko orang ramai daripada terkena jangkitan wabak tersebut.
"Setiap pengunjung premis yang dipasang C-Mosh Sanitizer ini hanya perlu melalui proses pembasmian kuman di terowong sanitasi  untuk tempoh di antara 10 dan 15 saat selepas suhu badan mereka disaring di pintu masuk premis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas pelancaran pengoperasian terowong itu di sebuah pusat membeli-belah di sini dengan disaksikan Pengurus Besar CENTEXS Commercial Mohamad Shahren Mohamad Yusri.
Katanya alat yang dikenali sebagai C-Mosh Sanitizer itu akan diedar oleh CENTEXS Commercial yang merupakan anak syarikat CENTEXS.

Sementara itu, Mohamad Shahren memberitahu Bernama bahawa CENTEXS Commercial sudah menerima 20 pesanan, termasuk daripada premis kerajaan dan pusat membeli-belah, untuk C-Mosh Sanitizer yang dibangunkan anak watan Sarawak.

Beliau berkata sehingga kini, sejumlah 25 unit C-Mosh Sanitizer telah dihasilkan oleh CENTEXS yang berharga kira-kira RM10,000 bagi unit komersial dan RM5,400 untuk kegunaan premis lebih kecil termasuk kediaman.

“Kita akan sedaya upaya cuba untuk memenuhi permintaan untuk C-Mosh Sanitizer ini yang agak tinggi berikutan kesedaran umum tentang penjagaan kesihatan sewaktu penularan jangkitan COVID-19 yang kita hadapi sekarang,” katanya.

CENTEXS merupakan sebuah pusat latihan kemahiran teknikal yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Yayasan Sarawak untuk menyediakan kursus teknikal kepada belia di negeri itu. 
-- Bernama

Kredit gambar Muhammad Azizi

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »