BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Bengkel kenderaan ingkar PKP


KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching menyerbu dua buah bengkel membaiki kenderaan yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membuka perniagaan pada hari yang tidak dibenarkan, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komosioner Awang Din Awang Gani berkata, dalam serbuan pertama jam 10.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota kereta peronda Polis (MPV) IPD Kuching semasa membuat rondaan dan pemantauan penugasan OP COVID-19 menerima info sebuah bengkel membaiki kenderaan yang terletak di Jalan Pending sedang beroperasi.

Menurutnya, setibanya di lokasi dapati seramai empat lelaki dan seorang perempuan sedang bekerja. 

"Kesemua mereka adalah warga tempatan berumur antara 19 hingga 40 tahun, mereka ditangkap kerana melanggar perintah sekatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan kedua jam 12.20 tengah hari, pihaknya menyerbu sebuah lagi bengkel membaiki kenderaan di Taman Sri Wangi, Petra Jaya.

"Ketika serbuan dilakukan dua lelaki warga tempatan berumur 41 dan 42 tahun sedang bekerja. 

"Kesemua mereka ini dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata,soal siasat awal terhadap ketujuh-tujuh suspek yang menjalankan bengkel membaiki kenderaan terbabit mendapati mereka gagal memberi alasan yang munasabah.

"Mereka didapati melanggar PKP kerana membuka perniagaan bengkel pada hari yang tidak dibenarkan oleh kerajaan. 

"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang telah berkuatkuasa dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan yang sama dan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, kesemua suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaraya Negeri untuk mendapatkan arahan menuduh mereka di mahkamah.

"Pihak IPD Kuching akan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan serta tindakan berterusan akan diambil terhadap mana-mana individu termasuk peniaga yang gagal mematuhi PKP.

"Pihak polis juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai jika mengesan bengkel yang beroperasi menyalahi peraturan yang ditetapkan,"katanya.

Semua bengkel kereta, motosikal dan alat ganti tayar serta bateri di Sarawak dibenarkan beroperasi dua kali seminggu pada Selasa dan Khamis, bermula 7 pagi hingga 7 malam sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »