BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Bapa dipenjara tampar anak enggan semak duit bantuan

KUALA TERENGGANU: Berang kerana enggan membuat semakan di bank sama ada wang bantuan sudah diterima atau belum, bapa nekad menampar anaknya.

Berita Harian melaporkan, akibat tindakan tersebut, tertuduh yang menampar dua anak lelakinya dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 41 tahun mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak sulungnya berusia 17 tahun di sebuah rumah di Manir, di sini jam 1 tengah hari 3 Mac lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak bongsunya berusia empat tahun di alamat sama, jam 2 petang pada 26 Mac lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan, memiliki senjata tiruan iaitu selaras senapang angin di alamat sama, jam 9 malam pada 3 Mac lalu.

Bagi tuduhan itu, tertuduh yang mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 berdepan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 3 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.

Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan menampar anak sulungnya selepas remaja terbabit enggan membuat semakan di bank sama ada wang bantuan sudah diterima atau belum.

Sementara, tertuduh dikatakan menampar anak bongsunya yang menjatuhkan telefon bimbit di atas lantai di ruang tamu.

Kredit gambar Berita Harian 

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »