BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

ASP Aldrin Gonda maut kemalangan



ALOR SETAR, 19 April (Bernama) -- Seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang sedang bertugas semasa Ops COVID-19 maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Arkib Negara, Jalan Mentaloon di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, ASP Aldrin Anak Gonda, 38, yang merupakan Ketua Bahagian Narkotik IPD Kota Setar maut di tempat kejadian, manakala dua lagi anggota masing-masing berusia 26 tahun cedera di bahagian kepala dan kaki. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata mendiang yang menaiki kenderaan polis jenis Proton Inspira, sedang dalam perjalanan untuk melakukan satu tangkapan di Pantai Johor sebelum kemalangan berlaku.
"Semasa dalam perjalanan, sebuah motosikal telah mengubah laluan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kemalangan berlaku dan mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi anggota yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Proses siasatan kemalangan sedang berjalan dan kita minta penunggang motosikal untuk tampil memberi keterangan di balai berhampiran atau IPD Kota Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik HSB di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata mendiang yang sudah berkhidmat selama tiga tahun di IPD Kota Setar meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia enam tahun.

"Kami sedang menguruskan untuk membawa pulang jenazah mendiang ke Serian, Sarawak. 

Mendiang merupakan seorang pegawai yang sangat komited, aktif dan cergas. Ini satu kehilangan besar buat kami," katanya.

Sementara itu, Konstabel Muhamad Izzuddin Mohd Samsudin, 27, merupakan anak buah paling rapat dengan mendiang berkata dia terkejut apabila mengetahui insiden itu melalui pesanan WhatsApp kira-kira 12 tengah hari.  

"Saya ada di rumah dan bila dapat tahu sahaja saya terus ke tempat kejadian, namun mendiang telah tiada. Kali terakhir saya jumpa dia petang semalam dan tidak nampak perkara pelik tetapi mendiang ada cakap yang dia sayangkan anak-anak buahnya.

"Dia seorang ketua yang sangat baik dan mengambil berat tentang anak-anak buahnya dan kami memang selalu bergurau...pemergian mendiang sangat dirasai," katanya.
- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »