BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

95 pesakit sembuh COVID-19

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) - Jumlah pesakit  yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini adalah 95 orang, sekali lagi melebihi jumlah kes baharu positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 84 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,389 kes. 

"Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 3,197 iaitu sebanyak 59.32 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,103 kes dengan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 46 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 89 kes iaitu 1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

"Kes kematian ke-89 (kes ke-4769) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-2726. Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 13 April dan disahkan meninggal dunia pada 18 April pukul 6.47 petang," jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu telah dikesan di pintu masuk antarabangsa iaitu apabila kes positif dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang daripada Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lepas.

Menurutnya kluster itu terdiri daripada 43 pelajar yang pulang daripada Temboro, iaitu satu daripada tempat yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 34 orang telah dikuarantin di Melaka dan sembilan orang di Kuala Lumpur, katanya.

"Ini menunjukkan bahawa tindakan kerajaan untuk mengambil langkah untuk kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah bertepatan. Ini bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk Malaysia," katanya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »