BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tindakan tegas terhadap kontak cluster degil, Menteri Dalam Negeri

KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menyembunyikan maklumat berkaitan kluster COVID-19 terutama dalam kalangan kluster tabligh.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya mempunyai data-data berkaitan kluster yang dipercayai menyebabkan rantaian penularan wabak berkenaan berpanjangan.
“Saya memohon kalau mana-mana individu yang ada kontak dengan kluster untuk tampil membuat saringan. Kami tidak akan menahan mereka, kita cuma mahu mereka membuat saringan pemeriksaan COVID-19 sahaja.

“Ini adalah amaran pertama dan kami tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan lebih tegas selepas ini memandangkan kita telah masuk fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ditanya tindakan tegas yang bakal diambil, Hamzah bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.

“COVID-19 ini tidak mengenal bangsa, agama dan pangkat atau sesiapa sahaja yang bersangkut-paut dengan COVID-19. Oleh itu, kami meminta semua pihak memberi kerjasama kepada polis,” katanya.

Berikutan itu, Hamzah turut menasihatkan masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang berita palsu atau berkongsi maklumat tidak benar mengenai COVID-19.

“Jangan sampai perkara ini memecah belahkan perpaduan negara dan menimbulkan kegusaran awam   sehingga mampu menimbulkan masalah lain. Sebaliknya setiap masyarakat harus memainkan peranan dalam memastikan kita dapat mengatasi masalah ini bersama,” katanya.

Hamzah berharap agar rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan dengan bantuan semua pihak di fasa kedua PKP ini.

Terdahulu, beliau membuat lawatan pertama ke Bukit Aman selepas memegang portfolio Kementerian Dalam Negeri pada 10 Mac lepas.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan timbalannya Datuk Mazlan Mansor.
-- Bernama


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »