BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Suri rumah rugi RM65,000 akibat Macau Scam


KUANTAN, 4 Mac -- Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM65,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam untuk memindahkan wang simpanannya ke akaun individu tidak dikenali. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 53 tahun mendakwa menerima panggilan telefon sekitar awal bulan ini, daripada lelaki kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. 

"Mangsa mendakwa dimaklumkan mengenai perintah mahkamah untuk membekukan asetnya kerana mempunyai kes dan mempunyai masa selama dua jam untuk menyelesaikan masalah itu segera. 

"Kerana takut dipenjarakan, mangsa telah menuruti semua arahan untuk memindahkan wangnya ke akaun diberikan suspek dan diarahkan untuk tidak memberitahu kepada orang lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata mangsa hanya menyedari ditipu semalam, selepas bercakap mengenainya dengan ahli keluarganya dan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada sebelah petang. 

Dalam satu lagi kes, seorang doktor perempuan berusia 44 tahun membuat laporan di IPD Rompin kerana mendakwa diperdayakan suspek lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis bergelar 'datuk' sehingga kerugian RM23,000. 

Mangsa, menurut Mohd Wazir mendakwa dihubungi suspek berhubung siasatan tunggakan cukai pendapatan syarikat yang kononnya didaftarkan atas namanya. 

"Suspek dikatakan mengambil butiran peribadi perbankan mangsa bagi tujuan siasatan dan selepas beberapa hari, dia mendapati akaun simpanan banknya berkurangan," katanya. 

Mohd Wazir berkata siasatan kedua-dua kes dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan. 
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »