BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Remaja didakwa bunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz sambung bela diri 20 April

KUALA LUMPUR, 19 Mac -- Prosiding bela diri seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran yang menyayat hati tiga tahun lepas, akan bersambung 20 April ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata sepatutnya remaja itu menyambung keterangannya pada 30 Mac namun prosiding itu ditangguhkan kerana mahkamah ditutup mulai semalam sehingga 31 Mac berikutan keputusan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

"Pihak pembelaan mungkin akan memanggil dua atau tiga saksi lagi pada prosiding bela diri yang akan bersambung pada 20 April ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau berkata remaja itu yang kini berumur 19 tahun telah memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi pada 2 dan 3 Mac lepas. 

Pada 28 Jan lepas, mahkamah memerintahkan remaja terbabit membela diri atas pertuduhan tersebut manakala rakannya yang juga berumur 19 tahun dilepas dan dibebaskan tanpa memanggilnya membela diri atas pertuduhan sama. 

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap remaja itu.
Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.
 -- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »