BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pelajar Sarawak di Semenanjung boleh pulang

KUCHING, 17 Mac -- Tiada sekatan bagi pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung dan Sabah untuk kembali ke negeri asal mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan mulai esok hingga 31 Mac, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam ini.

Beliau berkata pelajar-pelajar ini bagaimanapun perlu menjalani Notis Duduk Di rumah (SHN) selama 14 hari seperti yang diumumkan semalam.

"Terserah kepada mereka (sekiranya pelajar ingin kembali ke Sarawak) seperti yang telah saya bincang dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Dr Noraini Ahmad) bahawa mereka akan dibenarkan tinggal di kampus semasa tempoh perintah itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, pusat pentadbiran negeri di sini.

Ketika mengumumkan perintah itu pada Isnin malam, Muhyiddin berkata semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara akan ditutup dalam tempoh tersebut.

Arahan itu adalah antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membendung penyebaran wabak COVID-19 yang kini sedang dihadapi negara.
 
Sementara itu, Abang Johari berkata Kerajaan Negeri akan memudahkan penguatkuasaan perintah itu termasuk penutupan semua pejabat kerajaan dalam tempoh tersebut kecuali jabatan atau agensi yang menyediakan perkhidmatan penting.

Di samping itu, semua premis perniagaan termasuk kilang akan ditutup selama dua minggu bermula esok, kecuali premis perniagaan yang menyediakan produk dan perkhidmatan penting.

"Hanya kilang-kilang di Samalaju Hi-Tech (di Bintulu), Samajaya (Kuching) dan kilang papan lapis dibenarkan beroperasi dengan bilangan pekerja yang minimum," katanya sambil menambah bahawa restoran dan gerai makanan dibenarkan dibuka untuk orang ramai membeli makanan tetapi mereka tidak dibenarkan makan atau minum di sana.

Mengenai kematian seorang pastor di sini akibat COVID-19 hari ini, beliau berkata Jabatan Kesihatan telah memaklumkan kepada keluarga mangsa tentang prosedur yang perlu mereka ikuti untuk pengebumiannya dalam tempoh ini.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »