BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Menyamar polis, langgar PKP, dua lelaki dipenjara lapan bulan

KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar polis dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penarik kereta, Muhammad Nur Saddiq Isham Marzuki, 24 dan penganggur, Mohamed Nazrin Shah Kamal Bachah, 25, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan bagi pertuduhan menyamar polis serta penjara empat minggu bagi kesalahan melanggar PKP.

Majistret Mohammad Aizat Abdul Rahim memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 24 Mac lepas, dan mereka kemudiannya dihantar ke Penjara Kajang.

Bagi pertuduhan menyamar polis, mereka bersama-sama didakwa menyamar sebagai anggota polis dan dalam penyamaran itu telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di tempat letak kereta aras bawah tanah Sunway Velocity Mall, Off Jalan Peel, di sini, pada pukul 10.20 pagi, 24 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua mereka juga mengaku berada di dalam kawasan tempatan jangkitan tanpa alasan munasabah dalam tempoh PKP susulan penularan wabak COVID-19 di tempat dan masa sama.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dihukum di bawah Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan menyamar polis adalah kesalahan yang serius dan ia berlaku semasa PKP dikuatkuasakan.

“Saya juga memohon hukuman yang akan dijatuhkan itu akan memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam,” katanya.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »