BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Mayat disimen dalam tong, adik ditahan polis


ALOR SETAR, 8 Mac -- Mayat lelaki yang dipercayai maut selepas ditetak adiknya menggunakan parang Jumaat lepas, ditemukan dalam sebuah tong yang disimen di Kampung Padang Hassan, dekat sini, pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah, SAC Sapii Ahmad berkata sebelum kejadian, dipercayai berlaku perselisihan faham antara mangsa yang berusia 34 tahun dengan suspek yang berusia 24 tahun.

"Suspek yang bekerja sebagai peniaga ayam goreng dikatakan menetak mangsa menggunakan sebilah parang sebelum memasukkan mayat mangsa ke dalam sebuah tong besar dan kemudian menuang simen ke dalam tong itu. Semasa kejadian, ahli keluarga yang lain tiada di rumah.

"Polis telah menerima maklumat pada pukul 6.30 pagi tadi sebelum berjaya menahan suspek di rumahnya pada pukul 7.30 pagi. Mayat mangsa ditemukan di belakang rumah dan polis telah merampas parang dan peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk siasatan lanjut," katanya.

Sapii berkata polis meminta bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa daripada tong disimen itu.

"Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Polis akan cuba dapatkan perintah reman terhadap suspek sama ada petang ini atau esok." katanya.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »