BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Malaysia keempat tertinggi Asia


PETALING JAYA: Malaysia kini mencatatkan kes Covid-19 keempat tertinggi di Asia di belakang China, Iran dan Korea Selatan.

China masih mendahului dengan mencatatkan 81,139 kes, Iran kedua dengan 17,361 kes dan Korea Selatan dengan 8,565 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes.

Beliau berkata, 63 daripada 110 kes baharu itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

"Sehingga kini, seramai 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 15 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari wad hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu adalah 75.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata kesedaran masyarakat tentang penjarakan sosial telah menyumbang kepada trend penularan wabak Covid-19 kekal di paras mendatar dalam tempoh beberapa hari terakhir. 

Beliau berkata penjagaan diri dalam aspek kebersihan dan pematuhan pada arahan yang dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan juga menyaksikan pertambahan kes baharu positif Covid-19 sejak beberapa hari lepas tidak menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding pada awal penularan wabak itu. 

"Setakat ini, kita belum boleh katakan trend itu disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tetapi lebih kepada kesedaran masyarakat, khususnya pematuhan arahan penjarakan sosial. 

"Kita harap dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini kita dapat putuskan rangkaian penyebaran wabak, sekali gus menghalang Covid-19 daripada terus menular," katanya.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »