BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Jokowi, jangan balik kampung raya Aidilfitri

JAKARTA, 30 Mac -- Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) meminta rakyatnya tidak bermudik atau balik kampung menyambut Aidilfitri 1441 hijrah pada Mei ini sebagai langkah bagi membendung penularan virus COVID-19.

Jumlah kematian akibat pandemik virus itu di Indonesia terus meningkat kepada 122 kes, dengan lapan lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

"Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 129 lagi kes positif baharu, menjadikan jumlah kini 1,414 kes," kata Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto.

Setakat ini, pemerintah pusat belum memutuskan perintah kawalan pergerakan antara wilayah- wilayahnya bagi membendung penularan virus itu.

Jurucakap Presiden Indonesia, Fadjroel Rahman dalam satu kenyataan berkata, Presiden Jokowi meminta rakyatnya tidak bermudik, namun jika terpaksa bermudik, mereka perlu mengambil langkah-langkah tertentu berkaitan jarak sosial, menjaga kebersihan dan kesihatan.

Pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, golongan akademik, aktivis masyarakat dan netizen dalam media sosial, kini mendesak pemerintah pusat menguatkuasakan segera sekatan keluar dan masuk atau perintah kawalan pergerakan antara wilayah-wilayah di Indonesia.

Mereka khuatir pergerakan orang ramai terutamanya dari Jakarta dan kota berhampirannya yang berpenduduk lebih 30 juta itu, yang mencatatkan jumlah kematian dan kes positif tertinggi ketika ini, akan memburukkan lagi penularan virus itu ke wilayah lain.

Mengikut pecahan kes kematian setakat hari ini, Jakarta mencatatkan 74 kes, diikuti Jawa Barat (20 kes), manakala selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Namun beberapa pemerhati dan aktivis masyarakat melihat pemerintah Indonesia sebenarnya mengambil langkah berperingkat-peringkat, agar tidak mencetuskan panik dan lebih menjejaskan aktiviti ekonomi di negara penduduk lebih 270 juta orang itu.

"Contohnya, pada 16 Mac, Indonesia bertindak menutup sekolah, pusat pelancongan, tempat ibadat dan melarang aktiviti perhimpunan dalam skala besar, seminggu kemudian baharu diperluaskan kepada penutupan pusat hiburan, pembatasan jumlah penumpang dan frekuensi serta tempoh masa perkhidmatan pengangkutan awam.

"Pemerintah juga menggiatkan kempen jarak sosial dalam media massa, dan pada mulanya menasihat bekerja dari rumah, sebelum menguatkuasakan arahan bekerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal, yang dikuatkuasakan sehingga 19 April ini," katanya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »