BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Isytihar dulu, baru kemuka resit susahkan pembayar cukai

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Tahun lalu, PERKESO mengumumkan lebih 40,000 kakitangan swasta diberhentikan kerja dan sebahagian besarnya pula terbabit dalam skim pemberhentian beramai-ramai.

Segelintir pekerja berkenaan diberikan pampasan oleh majikan masing-masing walaupun bukan besar jumlahnya namun serba sedikit mampu membantu untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup  keluarga masing-masing.

Bagaimanapun agak menyedihkan apabila pekerja diberhentikan berkenaan dikenakan penalti yang tinggi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu 45 peratus daripada yang dicukaikan jika gagal menyediakan bil atau dokumen yang bertahun-tahun lamanya daripada pengisytiharan yang dibuat.

Sememangnya polisi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), setiap pembayar cukai diminta menyimpan resit bagi setiap tuntutan e failing dalam tempoh tujuh tahun.

Tetapi bukan semua orang mampu menyimpan kesemua resit pembelian dengan baik, kadang-kadang hilang kerana berpindah atau hanyut dek banjir dan sebagainya yang dianggap bencana.

Bagaiamanapun sistem e-failing itu yang sedia ada tidak menyediakan mekanisme pencegahan jika berlakunya kehilangan resit atau dokumen berkenaan.

Sistem LHDN ketika ini adalah isytihar dahulu pendapatan dan selepas beberapa tahun barulah hendak dibuat audit, diminta kemukakan resit dan sebagainya.

Sewajarnya sistem e failing berkenaan berupaya untuk meminta terlebih dahulu daripada pembayar cukai untuk menyalin semula (scan) resit atau sebarang dokumen yang diperlukan dan dimuatnaik ke dalam sistem ketika tuntutan secara atas talian dibuat.

Ia bagi memudahkan pembayar jika berlakunya kehilangan dokumen atau resit berkaitan daripada simpanan.

Terdapat satu kes, pembayar cukai yang menjaga kedua ibu bapa sakit tetapi ibu bapanya meninggal dunia, selepas beberapa tahun baharulah LHDN minta dikemukakan resit perubatan kedua ibu bapanya itu. Bagaimana hendak dicari kembali resit-resit itu?

Ramai pembayar cukai yang diberhentikan kerja pula meluahkan rasa kecewa dengan pampasan yang sedikit diperolehi tetapi dikenakan pula penalti dan dipotong pula pampasan akibat kegagalan mereka menyediakan resit lama tuntutan.

Golongan marhean ini bukanlah bergaji besar, bukan dibayar pampasan besar sehingga jutaan ringgit, malangnya ditekan seolah-olah tidak pernah langsung mengisytihar bayaran.

Jika sudah membayar dan mengisytihar cukai serta sudah menerima lebihan atau tambahan cukai, ia sepatutnya dianggap pihak LHDN sudah menyemak dan menjalankan audit sebelum pun lebihan atau tambahan cukai itu dimasukkan ke akaun bank pembayar cukai.

Amat memalukan apabila di tempat kerajaan mengutip cukai (duit) paling banyak tetapi memberikan perkhidmatan paling buruk.

Dan tambah memalukan ketika zaman teknologi internet canggih hari ini dengan kereta terbang sebagainya, LHDN masih lagi bekerja dengan mekanisma dan lembab seperti masih di zaman naik kereta lembu.

Jika kerajaan prihatin nasib rakyat khususnya golongan pertengahan dan kebawah yang diberhentikan kerja, sewajarnya pampasan dianggap seperti derma dikecualikan cukai.

Banyak sebab alasan untuk sesuatu duit itu dikecualikan cukai.

Sebagai contoh bantuan mangsa banjir seperti wang ehsan RM500 adakah perlu dibayar cukai?

Sudah tentu tidak kerana wang itu adalah BANTUAN malapetaka, begitu juga WANG PAMPASAN DIBERHENTIKAN KERJA  juga malapetaka.

Contohnya jika pekerja diberhentikan diberi pampasan RM18,000,  wang itu sebagai ganti gajinya untuk sekurang-kurangnya enam bulan akan datang.

Jika masih menganggur bermakna pampasan itu adalah sebagai ganti gajinya RM2,000 sebulan.

Adakah pendapatan RM2,000 sebulan dikenakan cukai?

Jika ya bermakna benarlah kerajaan adalah kerajaan zalim.

Diharap Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat campur tangan,  prihatin dan mengambil berat nasib pekerja miskin yang kehilangan kerja dan pendapatan ini.

Penulis adakah penerima Ahli Mangku Negara, Tokoh Wartawan Rakyat dan Anugerah Kajai 2014

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili Gago Daily. 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »