BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Insentif RM200 untuk anggota bomba sepanjang tempoh PKP - Zuraida

KUALA LUMPUR, 29 Mac -- Bantuan sebanyak RM200 sebulan akan diberikan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata insentif itu diberi bagi menghargai peranan dan jasa mereka sebagai anggota barisan hadapan ketika negara berusaha memerangi penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata demikian dalam pesanan khidmat masyarakat yang disiarkan menerusi stesen televisyen hari ini. 

Beliau berkata insentif itu adalah antara inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu.

Pakej PRIHATIN itu meliputi segenap lapisan masyarakat serta turut memberi tumpuan khusus kepada golongan B40 termasuk mereka yang menetap di flat kos rendah seluruh negara, peniaga kecil dan pekerja kilang.

Zuraida berkata beberapa inisiatif lain yang dilaksanakan KPKT di bawah pakej PRIHATIN adalah pengecualian pembayaran sewa selama enam bulan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa bawah pengurusan KPKT, melibatkan 3,636 unit rumah dengan jumlah kos RM3 juta ditanggung kerajaan. 

"Penangguhan pembayaran bulanan selama enam bulan mulai April hingga September ini bagi PPR Sewa untuk Dimiliki (RTO) bawah pengurusan KPKT, melibatkan penangguhan pembayaran sebanyak RM5.7 juta. Pengecualian ini melibatkan 4,649 unit rumah," katanya.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata bagi meringankan beban pemajak gadai, kementerian itu telah mengarahkan semua syarikat pemegang pajak gadai yang berdaftar di bawah KPKT untuk melanjutkan masa penebusan tanpa mengenakan keuntungan (caj faedah) terhadap setiap pemajak gadai dalam tempoh PKP, yang dijadual berakhir pada 14 April ini.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »