BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Covid-19: UAE hantar bantuan perubatan ke Iran




ABU DHABI, 17 Mac -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar dua pesawat ke Iran, membawa bekalan perubatan kritikal dalam usaha membantu Tehran memerangi wabak penyakit novel koronavirus (COVID-19), lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

Dua pesawat itu berlepas dari Abu Dhabi pada Isnin, membawa lebih 32 metrik tan kelengkapan perubatan termasuk sarung tangan, topeng pembedahan dan peralatan perlindungan.

Sebelum ini, pada 3 Mac, UAE dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menghantar 7.5 tan bekalan perubatan dan lima pakar WHO untuk membantu 15,000 kakitangan kesihatan.

Inisiatif itu di bawah kerangka kerjasama UAE dengan negara yang terjejas akibat COVID-19 untuk memperkukuh usaha global dalam mengekang penularan virus. 

UAE antara negara terawal yang menghulurkan bantuan kepada China sebaik wabak itu menular, dengan menghantar peralatan perubatan, termasuk topeng muka dan sarung tangan. 

Di Afghanistan, UAE menghantar penghantaran bantuan perubatan segera iaitu 20,000 unit alat untuk mengesan virus COVID-19.

Penerbangan ehsan di bawah inisiatif "Homeland of Humanity", menyaksikan UAE membantu membawa keluar 215 penduduk dari pelbagai negara yang berada di Wilayah Hubei, China, pada 4 Mac lalu.

Mereka kini sedang menerima rawatan yang diperlukan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »