BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

COVID-19: Bantu usahawan kecil


KUCHING: Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menyediakan dana bantuan khas bagi membantu golongan usahawan kecil yang terjejas dalam perniagaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari berkuatkuasa 18 hingga 31 Mac ini akibat wabak virus COVID-19.

Presidennya, Bujang Boji Sitam berkata, pihaknya menerima banyak maklum-balas berkaitan kebimbangan dan keresahan daripada ramai penjaja dan peniaga, khususnya yang mengusahakan restoran dan kedai makanan dan minuman yang akan terkesan teruk apabila arahan itu mula dikuatkuasakan.

"Perintah itu mungkin dilanjutkan sekiranya wabak COVID-19 bertambah serius dan ini sudah pasti turut menjejaskan banyak sektor perniagaan lain yang turut diceburi oleh  golongan usahawan kecil Bumiputera kerana orang ramai (pengguna) sentiasa berkurung di dalam rumah.

"Oleh itu, adalah wajar kerajaan negeri memikirkan dengan serius untuk menyediakan dana bantuan khas bagi membantu golongan usahawan kecil yang kais pagi, makan pagi kerana mereka hanya bergantung kepada perniagaan untuk menyara kehidupan harian,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, DEKOMS mencadangkan dana bantuan khas tersebut  disalurkan melalui dewan atau pertubuhan perniagaan yang sah berdaftar di bawah Perdaftar Pertubuhan (ROS) yang kemudiannya menyalurkan bantuan berkenaan kepada ahli-ahli yang berdaftar, atau terpulanglah kepada pihak kerajaan negeri memikirkan mekanisme pelaksanaannya.

"DEKOMS menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana kerajaan persekutuan akan membayar ganti rugi sebanyak RM600 seorang kepada pekerja gaji hari yang diarahkan bercuti tanpa gaji dan hilang pendapatan berikutan perintah tersebut.

"Kita juga mengalu-alukan keputusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang telah mengarahkan agensi-agensi penyedia pinjaman kepada golongan usahawan kecil untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan,"katanya.

Beliau berkata, keputusan yang diumumkan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dua hari lepas, sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada golongan usahawan kecil yang terjejas sumber pendapatan mereka berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara sekarang.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »