BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Bekas guru kini pereka fesyen Antarabangsa

Bekas guru beralih angin jadi pereka fesyen kini bangga rekaan tembusi pasaran antarabangsa

Pakaian jenama Kumang & Co kini dijual di Brunei, Singapura, Jepun dan Belgium




BERCERITA tentang dunia fesyen tanah air, siapa yang tidak kenal dengan nama-nama popular seperti Rizalman Ibrahim, Jovian Mandagie, Rizman Ruzaini dan Bernard Chandran manakala mewakili Bumi Kenyalang pula, ada nama hebat iaitu Tom Abang Saufi . 

Pakaian rekaan pereka fesyen tempatan ini menjadi kegilaan golongan kenamaan (VVIP) dan juga selebriti. Harga usah ceritalah, kalau bukan orang `have..have…’ (orang berada) usah mimpilah dapat menyarungkan pakaian rekaan mereka di badan.



Tetapi itulah keistimewaan golongan pereka fesyen yang terkenal ini, namun usah dipertikai kerana menjadi pereka fesyen bukannya kerja mudah dan bukan juga calang-calang orang boleh buat, senang cerita mereka ini menjual bakat yang tidak ternilai harganya.

Sebenarnya, ada ramai anak Sarawak yang mempunyai bakat terpendam dalam dunia fesyen tetapi kurang dikenali disebabkan tiada publisiti walaupun produk rekaan mereka sebenarnya sudah menembusi pasaran antarabangsa.

Antara yang mempunyai bakat besar dalam dunia fesyen ialah seorang wanita Iban kelahiran Sibu, Norazita Selanie atau mesra disapa Zetta.

Asalnya, wanita Iban ini adalah seorang guru tetapi dek kerana minat dalam dunia fesyen, beliau sanggup melepaskan pekerjaan tetap itu untuk membuka perniagaan rekaan fesyen di bawah jenama Kumang & Co di mana kedainya kini beroperasi di Bangunan Arked Mara Sibu.

Menurut Zetta, beliau `terjebak’ dalam dunia rekaan fesyen khusus menggunakan corak batik bermotif etnik-etnik Borneo iaitu Sabah dan Sarawak kerana didorong oleh hasrat mahu mengekalkan kekayaan tradisi yang ada di Kepulauan Borneo.



“Sebenarnya saya mula membuat penyelidikan dan kajian (R&D) dalam rekaan pakaian bermotifkan batik Borneo dalam tahun 2012, 2013 iaitu semasa masih lagi menjadi guru.

“Masa itu saya terfikir mahu mereka cipta pakaian sendiri menggunakan motif tersebut kerana sukar mahu mendapatkan pakaian bercorak Borneo untuk digayakan, selain minat untuk mengetengahkan pakaian corak tradisi etnik-etnik Sarawak dan Sabah yang saya lihat miliki keunikan tersendiri,” katanya kepada Gogodaily ketika ditemuramah di kedainya baru-baru ini.



Bercerita tentang keistimewaan pakaian keluaran Kumang & Co, Zetta memberitahu, ia terletak pada meterial kain pua yang mempunyai elemen atau motif etnik Sarawak dan Sabah yang digunakan. 

Antaranya ialah kain pua bermotifkan corak Orang Ulu, Iban dan Bidayuh terutama daerah Serian dan Bau.



Menjadikan rekaan beliau menarik ialah elemen pua ini ditransformasikan kepada pakaian rekaan moden seperti cardigan, seluar, baju dan gaun.

Bagi memenuhi permintaan tinggi pelanggan, Zetta turut berkolaborasi dengan ibu-ibu tunggal, bekas pesakit kanser, suri rumah dan banduan penjara wanita untuk menyiapkan tempahan, sekali gus membantu golongan ini menjana pendapatan.



Selain pakaian, Kumang & Co turut menghasilkan produk lain seperti dompet dan beg tangan bermotifkan corak tradisi kaum Penan, Orang Ulu, Iban serta Bidayuh.

Turut memasarkan produk melalui media sosial seperti Facebook, Zetta kini boleh berbangga kerana hasil rekaannya telah berjaya menembusi pasaran Brunei, Singapura, Jepun dan Belgium.




Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »