BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Bedah siasat mangsa kebakaran di Pengerang bermula petang ini


KOTA TINGGI, 17 Mac -- Proses bedah siasat termasuk menjalankan ujian DNA bagi membantu proses pengecaman identiti akan dilakukan ke atas kelima-lima mangsa tragedi kebakaran Unit Diesel Hydro Treating (DHT) di Kompleks Bersepadu Pengerang, di Hospital Sultan Ismail, bermula petang ini.

Ketua Jabatan Bahagian Keselamatan dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Tinggi, ASP Mohamaden Bujang berkata ia adalah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu digunakan ketika berhadapan kesukaran untuk mengenalpasti mayat menerusi operasi pengecaman biasa.
Beliau berkata, prosedur itu bagi mengelakkan berlaku seperti kesilapan pengecaman mayat dan sebagainya.

"Siasatan awal akan dijalankan di lokasi kejadian sebelum bedah siasat. Keadaan jenazah itu sendiri memang sukar dibuat pengecaman kaedah biasa, jadi untuk sahkan memang kena melalui cara ini… macam manapun petang ini bila post mortem dijalankan, pegawai penyiasat akan berhubung dengan keluarga mangsa. 

"Keputusan paling awal dalam masa 48 jam hingga ke dua minggu, ia bergantung kepada Jabatan Kimia, lepas dikenalpasti barulah diserahkan kepada keluarga mangsa," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama waris kesemua mangsa yang terkorban dalam kebakaran malam Ahad iaitu waris kepada Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Norakmal, Norfazly Md Nor, Che Huzaidy Che Harun dan Hadi Syafiq Jamil di Pejabat Daerah Kota Tinggi di sini, hari ini. 

Turut hadir pada taklimat itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Zaiton Ismail, Pengarah Hospital Kota Tinggi Dr. Khursiah Daud dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Farizal Ismail. 

Dalam pada itu, Mohamaden berharap waris keluarga mangsa dapat bersabar dan memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tindakan sewajarnya.

Dalam kejadian dua hari lepas, lima mangsa ditemui rentung dalam kebakaran di Unit DHT, manakala seorang cedera dengan keadaan melecur 40 peratus manakala seorang terselamat.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »