BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Aset tentera hantar makanan keperluan harian di Sabah dan Sarawak


PUTRAJAYA, 31 Mac -- Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk helikopter akan diatur gerak ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Covid-19 Bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri hari ini bersetuju supaya tindakan berkenaan diambil.

"Kita dapat aduan dari penduduk di rumah panjang misalnya… kadang-kadang tidak dapat dihantar barangan keperluan asas kepada mereka.

"Jadi mesyuarat telah putuskan dan telah dipersetujui bahawa pihak tentera akan menggunakan aset mereka seperti helikopter untuk hantar produk-produk ataupun barang-barangan makanan dan keperluan asas ke kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan sentiasa memastikan bekalan makanan dan sebagainya untuk mereka mencukupi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rabu lepas, Muhyiddin mengumumkan PKP yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lepas dan sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 14 April.
-- Bernama

Gambar ihsan Kementerian Pertahanan Malaysia. 

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »