BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

"Andalah hero kami, terima kasih" dan Selamat Hari Doktor.

KUALA LUMPUR, 30 Mac -- Ketika dunia kini dilanda wabak COVID-19, ramai terpaksa membataskan pergerakan sehingga terpaksa menjarakkan diri antara satu sama lain kerana bimbang dijangkiti. Namun, ada insan yang tetap merapati dengan penuh tanggungjawab memastikan sesiapa sahaja dirawat sehingga pulih.

Begitulah gambaran peribadi mulia mereka yang bergelar doktor - jasa dan pengorbanan mereka harus dihargai sewajarnya.

Bersempena Hari Doktor Sedunia pada 30 Mac setiap tahun, ramai dalam kalangan warganet daripada pelbagai latar belakang termasuk kepimpinan negara menzahirkan ucapan penghargaan kepada golongan doktor.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang mengucapkan Selamat Hari Doktor di laman Facebook beliau hari ini, dengan turut berterima kasih kepada semua barisan hadapan negara yang berkhidmat untuk negara.

Turut menzahirkan ucapan serupa ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang melahirkan penghargaan dalam laman Facebook beliau dengan ucapan 'Selamat Hari Doktor Sedunia. Terima Kasih atas khidmat dan bakti yang dicurahkan'.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pengorbanan doktor amat bermakna kepada negara.

"Sempena Hari Doktor Sedunia, saya ingin merakamkan perhargaan kepada semua doktor yang berkerja siang dan malam, menggalas tugas yang amat berat dan terus berkhidmat untuk negara. Ini satu usaha dan pengorbanan yang amat bermakna buat Malaysia. Terima kasih," katanya di laman Twitter beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan turut memuat naik sebuah poster dalam Facebook beliau yang tertulis 'Selamat Hari Doktor. Terima Kasih atas khidmat tanpa lelah, terima kasih berkorban masa dan tenaga, terima kasih untuk segalanya'. 

Takiyuddin berkata pepatah Inggeris menyatakan 'an apple a day keep a doctors away' tetapi ketika dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19, pepatah itu tidaklah sesuai.

"Doktor, jururawat, malah kakitangan perubatan secara keseluruhannya merupakan nadi barisan hadapan yang sangat banyak membantu kita menghadapi detik getir ini. 

Terima kasih semua. Jasa kalian memang tidak terbalas," demikian catatannya.

Pengguna Facebook Ameerah menulis 'Selamat Hari Doktor Sedunia buat semua insan bergelar doktor'.

"Terima kasih di atas segala pengorbanan masa dan tenaga. Malah mutakhir ini nyawa turut dipertaruhkan mereka. Keluarga di rumah terpaksa ditinggalkan, pesakit di hospital dirawat dengan penuh keikhlasan.

"Semoga para Wira Negara kita sentiasa dilindungi Allah dan terus bersemangat berada di barisan hadapan melawan COVID-19," katanya.

Aliyya Adha mengucapkan penghargaan di Facebook; 'SELAMAT HARI DOKTOR SEDUNIA!' "Hari ini, kerjaya doktor sedang diuji dengan berhadapan tugasan yang amat berisiko tinggi di mana COVID-19 mampu merebak mudah hanya dengan sentuhan.

"Pengorbanan seorang doktor terhadap pesakitnya memang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan. Ia adalah pengorbanan yang mulia, doktor wira kami!," katanya.

Pengguna Facebook Min Mamin; 'Selamat Hari Doktor Sedunia; Andalah Hero, Adiwarna di hati semua. 

Semoga dikurniakan kesihatan yang baik, dilindungi sentiasa dalam merawati, mengubati, menyantuni para pesakit’.

Sementara itu, doktor perubatan Dr Redza Zainol yang bertugas menjaga pesakit COVID-19, berkata kemampuan seorang doktor juga ada batasnya kerana mereka manusia biasa.

"Doktor menjalankan tanggungjawab seboleh mungkin. Dalam keadaan penularan wabak sampai suatu masa, kemampuan KKM (Kementerian Kesihatan) untuk memerangi COVID-19 akan sampai batasannya.

"Yang betul-betul boleh bantu anggota perubatan untuk putuskan rantaian COVID-19 ini sebenarnya ialah kita semua. 

Sama-sama kita duduk di rumah, jagalah keluarga dan diri sendiri," katanya kepada Bernama.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »