BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Ahli keluarga dan wartawan sedia ikuti perbicaraan MH17


AMSTERDAM, 8 Mac -- Ratusan ahli keluarga mangsa pesawat MH17 Malaysia Airlines dan wartawan telah berdaftar untuk menghadiri perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan dengan kawalan keselamatan ketat di Mahkamah DaerahThe Hague di Kompleks Kehakiman Schiphol yang bermula Isnin.

Persoalan sama ada empat tertuduh akan hadir di mahkamah atau hanya diwakili peguam mereka, atau mereka akan dibicarakan tanpa kehadiran, hanya akan diketahui pada hari tersebut.

Pegawai Kehakiman Media Mahkamah Daerah The Hauge, Yolande Wijnnobel berkata, beliau tidak boleh mendedahkan nama peguam dan juga suspek, namun mengesahkan dua peguam mahu mewakili seorang daripada suspek tersebut di mahkamah.

“Ini adalah kes jenayah Belanda di Mahkamah Belanda dan hanya peguam Belanda sahaja boleh mewakili tertuduh di sini,” tegas beliau.

Pada Jun 2019, pasukan penyiasatan bersama (JIT) terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap tiga warganegara Rusia - Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan seorang warganegara Ukraine Leonid Kharchenko - atas dakwaan menembak jatuh MH17 berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, membunuh kesemua 298 penumpang dan kru pesawat tersebut.
 
Ketika ditanya sama ada mahkamah akan mendengar perbicaraan sebenar dengan saksi memberi keterangan pada hari tersebut, Winjnnobel menjelaskan, pada peringkat ini hanya membabitkan prosedur pemeriksaan bahan kes.

“Ia adalah prosedur, yang hakim mahu selesaikan pada Isnin, dan ia terlalu awal untuk hakim mendengar merit kes tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wijnnobel berkata sehingga kini perbicaraan akan diteruskan seperti dijadual walaupun dalam situasi semasa di Eropah akibat penularan wabak COVID-19.

“Kami sedang memantau perkara ini. Kami ada RIVN (Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan Belanda) di sini, yang memantau perkembangannya dan akan membuat cadangan, yang kami laksanakan.

“Jadi jika ada sebarang perkembangan, kami akan maklumkan anda atau kami akan letakkan di dalam laman sesawang kami. Tetapi buat masa ini, ia berjalan seperti biasa, kes ini akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu anti-pesawat BUK oleh puak pemisah pro-Rusia dalam konflik dengan Ukraine berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine - kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia.
-- Bernama

Foto FB Memorial Group for MH17

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »