BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

5.56 juta lelaki dan wanita bujang senja

PAKAR sosiologi menjangkakan dilema bujang senja di Malaysia akan meningkat hampir sekali ganda menjelang pengumuman hasil Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

Berdasarkan Laporan Bancian Penduduk tahun 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 5.56 juta lelaki dan wanita berusia 30 tahun ke atas masih belum berkahwin di seluruh negara.

Malah, statistik 10 tahun lalu itu juga menunjukkan jumlah wanita bujang 30 tahun ke atas jauh lebih tinggi iaitu seramai 4.8 juta berbanding jumlah lelaki bujang 739,000 orang.

Pakar sosiologi merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, jumlah bujang senja pada tahun 2020 ini mungkin lebih tinggi memandangkan trend berkahwin lewat semakin menjadi kebiasaan dan sudah diterima masyarakat berbanding 20 tahun dahulu.

“Secara tepat kita tidak tahu jumlah angkanya, tetapi pasti akan meningkat mungkin sekali atau dua kali ganda. Kita wajar melihat punca-punca trend kahwin lewat dan cuba mengatasinya.

“Paling menakutkan isu ini menjadi punca kadar kesuburan penduduk Malaysia turun ke paras paling rendah dalam sejarah iaitu 1.8 bayi berbanding 4.9 bayi pada tahun 1971,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, jangkaan peningkatan itu adalah mengambil kira purata perkahwinan pertama bagi lelaki dan wanita sejak 1970 hingga 2014 yang terus melonjak setiap tahun.

“Bahkan, hasil analisis Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) pada 2014 mendapati rata-rata lelaki mahu menamatkan zaman bujang pada usia 32 tahun manakala wanita 30 tahun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdulah berkata, isu gejala kahwin lewat perlu diperjelaskan dalam konteks sosio budaya dan psikologikal.
 
Ini kerana, kata Abdul Shukur, secara asasnya tiada satu takrifan yang jelas tentang apakah umur sebenar yang dirujuk sebagai umur lewat berumah tangga.

“Isu kahwin lewat ini akan terjadi apabila berlakunya konflik seseorang individu masih belum lagi bertemu jodoh pada umur tertentu yang dianggap usia yang sepatutnya seseorang individu patut berkahwin mengikut pandangan sesebuah komuniti.

“Tiada takrifan tetap umur lewat berkahwin. Berbeza dengan masa dahulu iaitu ramai pasangan berkahwin pada usia muda, kini umur kahwin kali pertama dilihat semakin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hasil kajian KPKM-5, umur purata perkahwinan bagi lelaki dan perempuan semakin meningkat iaitu kepada 29.3 tahun bagi lelaki dan 26.2 tahun bagi perempuan.

Abdul Shukur berkata, hasil analisis itu juga mendapati tiga sebab utama lelaki masih belum berkahwin ialah pertama disebabkan oleh masalah kewangan yang merekodkan sebanyak 56 peratus, diikuti tiada calon sesuai (18.4 peratus) dan mendahulukan kemajuan kerjaya (9.4 peratus).

Katanya, bagi perempuan pula isunya tiada calon yang sesuai iaitu sebanyak 35.7 peratus diikuti masalah kewangan (26.0 peratus) dan kemajuan kerjaya (18.1 peratus).
 
Terdapat lebih 5.56 juta lelaki dan wanita bujang berusia 30 tahun ke atas dalam bancian tahun 2010.
“Masalah kewangan ternyata merupakan salah satu sebab utama mengapa lelaki dan perempuan masih membujang.

“KPKM-5 mendapati secara keseluruhannya, anggaran purata perbelanjaan perkahwinan yang mampu disediakan penduduk bujang hanyalah sekitar RM14,000, lebih rendah berbanding RM20,000 yang diperlukan sebagai perbelanjaan minimum bagi melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Beliau menambah, wanita merekodkan jumlah tertinggi belum berkahwin kerana penglibatan wanita terutama mereka yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »