BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

5 dipenjara, termasuk 2 beradik - langgar PKP di Sabah


LAHAD DATU, 31 Mac -- Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 atau sebulan penjara setiap seorang ke atas dua adik-beradik lelaki kerana meneruskan operasi syarikat mereka yang bukan menawarkan perkhidmatan dibenarkan semasa Perintah kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr memerintahkan Ng Khim Weng, 50 dan adiknya Kim Chuah, 47 menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini.

Kedua-dua beradik itu mengaku bersalah membuka premis perniagaan mereka Rintisan Hijau Sdn Bhd di Pusat Industri Dam, Lahad Datu pada pukul 11 pagi, 28 Mac lepas.

  Di mahkamah yang sama, Awang Mohd Nor Hafiz Awang Mohd Nor Ishak, 23, dijatuhkan hukuman dua bulan penjara mulai Sabtu lalu setelah mengaku bersalah menunggang motosikal di Jalan Pantai, Lahad Datu tanpa alasan munasabah pada pukul 11.30 malam, 28 Mac semasa PKP berkuat kuasa. 

Di KOTA KINABALU pula, Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 27 bulan ke atas seorang penjaja, Bengsi Jilhani,  atas tiga pertuduhan -- mengingkari PKP, menghalang seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menjalankan tugas di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, dan cuba melarikan diri daripada ditangkap polis, pada pukul 2.15 petang, 26 Mac lepas. 

Bengsi dijatuhi hukuman penjara 10 bulan masing-masing kerana menghalang anggota Rela itu menjalankan tugas dan mengingkari PKP dan mahkamah memerintah hukuman berjalan serentak mulai semalam. 

Manakala bagi kesalahan ketiga kerana cuba melarikan diri daripada ditangkap polis, dia dihukum penjara tujuh bulan dan diperintahkan menjalankan hukuman itu secara berturut-turut selepas selesai menjalani hukuman penjara 10 bulan.  

Di Mahkamah Majistret Sandakan, seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM6,000 atau 10 bulan penjara, kerana menghalang penjawat awam iaitu polis menjalankan tugas di satu sekatan jalan raya di Sandakan pada 28 Mac lepas.

Majistret Suhaila Selag turut mendapati Joe Lee Juu Dert, 27 bersalah atas kesalahan kedua iaitu memandu secara berbahaya di sekatan jalan raya itu dan menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Suhaila memerintahkan Joe Lee menjalani hukuman penjara secara berturut-turut dari tarikh ditangkap, 28  Mac lepas. 
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »